Alasan yang sering diberikan oleh syarikat pemaju adalah kos bahan binaan dan operasi yang tinggi tetapi untung ‘ciput’. Benarkah senario itu berlaku atau hanya digunakan sebagai ‘tiket’ mudah bagi syarikat pemaju menaikkan harga rumah?

Memang benar, pelbagai kediaman dibina mengikut kategori, ada rumah kos rendah, sederhana dan mewah, namun berdasarkan senario terkini rumah-rumah kos rendah juga dilihat ‘tidak mampu’ dimiliki oleh mereka yang berpendapatan rendah. Tanyalah siapa sahaja, setiap orang pasti ingin memiliki rumah berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing.

Jika diamati yang paling terkesan adalah golongan sederhana kerana dianggap ‘tidak layak’ sekiranya ingin membeli rumah kos rendah tetapi pada masa sama tidak mampu membeli rumah kos sederhana yang mahal harganya apatah lagi kediaman mewah.

Dengan pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan, mereka boleh dianggap sebagai kumpulan sederhana namun jika tinggal di bandar raya seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru atau Pulau Pinang, golongan terbabit sebenarnya boleh dikategorikan sebagai miskin bandar kerana kos hidup di lokasi tersebut amat tinggi.

Tidak dinafikan, pelbagai usa­ha dan inisiatif telah dilakukan oleh kerajaan untuk membantu semua lapisan rakyat memiliki sebuah rumah yang sememang­nya diakui adalah salah satu keperluan asas rakyat. Tanpa kediaman tidak lengkap kehidupan seseorang atau keluarga tersebut.

Bagi mendapatkan gambar lebih jelas tentang isu tersebut program Advokasi Ilmuwan anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) dengan kerjasama akhbar Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang telah diadakan di kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor, Rabu lalu mengupas segala permasalahan berkaitan.

Dengan tajuk Perumahan di Malaysia: Mampu Milik atau Mampu Tengok? program tersebut dikendalikan oleh Pengarah Kampus UTM Kuala Lumpur, Dr. Durrishah Idrus dengan turut menampilkan tiga ahli panel iaitu Setiausaha Kluster Politik, Ke­selamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa MPN, Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek ; Pengarah Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr. Suraya Ismail serta Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah UTM, Prof. Madya Dr. Hishamuddin Ali.

Antara cadangan bagi meredakan dan menurunkan harga rumah adalah keperluan menubuhkan sebuah badan khas untuk mengawal kenaikan harga hartanah oleh pihak kerajaan.

Abdul Halim memberitahu, setakat ini tiada badan khas se­perti itu yang ditubuhkan bagi mengawal kenaikan harga sekali gus membela nasib pembeli. Berbanding syarikat pemaju, mereka dinaungi oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA). Penubuhan badan khas itu juga adalah salah satu syor orang ramai yang begitu terkesan dengan kenaikan harga hartanah ketika ini. Sekiranya dapat direalisasikan fungsi badan khas berkenaan bukan sahaja dapat mengawal dan membendung kenaikan harga malah berperanan menentukan kadar keuntungan maksimum yang wajar dinikmati oleh pemaju bagi mengelakkan keuntungan berlebihan.

Salah satu lagi aspek yang dititikberatkan adalah faktor ke­selesaan. Bukan sahaja harga yang ditawarkan mampu milik bahkan kediaman tersebut mesti selesa untuk memenuhi keperluan rakyat.

Bagaimanakah dikatakan sebuah rumah yang selesa? Selain binaan yang berkualiti, kediaman juga perlu memiliki sekurang-kurangnya tiga buah bilik dan dua bilik air. Sekiranya hanya sebuah bilik air, keadaan itu pasti tidak mampu memberi keselesaan kepada penghuninya.

Dalam pada itu, Suraya menggesa syarikat pemaju mengguna pakai teknologi dan kaedah pembinaan moden bagi mengurangkan kos operasi. Ini akan membuatkan harga rumah lebih murah. Walaupun penggunaan keadaan moden sudah lama dicanang kepada pemaju, namun hasil kajian mendapati sebanyak 98 peratus pemaju masih menggunakan kaedah konvensional yang ternyata memerlukan kos lebih tinggi.

Hakikatnya, industri pembinaan pada masa ini perlu mengikut arus pemodenan seperti penggunaan sistem bangunan industri (IBS) yang terbukti mampu mengurangkan kos sekali gus harga yang ditawarkan jauh lebih rendah.

“Jika mereka masih kekal me­nggunakan kaedah konvensional, harga rumah akan terus mening­kat sebaliknya dengan sistem pembinaan yang lebih moden mereka boleh menurunkan harga rumah sehingga 30 peratus berbanding harga asal,” katanya sambil menegaskan bahawa tempoh projek juga mampu disingkatkan.

Hishamuddin pula memuji langkah kerajaan negeri Johor yang mengambil inisiatif berani dengan memperkenalkan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang kini mula membuahkan hasil apabila golongan berpendapatan rendah mampu memiliki rumah idaman mengikut kemampuan kewangan mereka.

Apa tidaknya, rakyat negeri ini mampu memiliki rumah teres dua tingkat dengan harga serendah RM80,000 sedangkan harga pasaran sebenar melebihi RM100,000. Nyata langkah tersebut harus dicontohi oleh negeri-negeri lain demi menyediakan sebuah kediaman selesa dan mampu dimiliki.

Begitu juga kerajaan negeri Melaka dan Negeri Sembilan turut mengambil langkah serupa untuk menyediakan rumah de­ngan harga mampu milik kepada rakyatnya walaupun menghadapi pelbagai cabaran.